Pilih Bahasa

Zon kegunaan komuniti di Sabah program seumpama pertama di Dunia

KENINGAU, 11 Ogos (Bernama) — Kerajaan negeri melalui Taman-Taman Sabah (TTS) memperuntukkan seluas 403 hektar tanah Zon Kegunaan Komuniti (ZKK)  di kawasan Taman Banjaran Crocker sejak 2004, kata Timbalan Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim.

Beliau berkata ZKK digunakan untuk menempatkan seramai 450 penduduk di Ulu Senagang Mongol Baru, Keningau dan ia adalah kampung pertama yang dijadikan model untuk pelaksanaan program itu di negeri ini.

“Sabah adalah yang pertama melaksanakan program ZKK di seluruh dunia…kita sudah jauh ke hadapan dalam pengurusan taman…kita lebih advance (kehadapan) berbanding negara lain. Perkara ini sungguh menggembirakan dan pada hari ini kita menjadi model, bukan sahaja pada peringkat Malaysia, rantau asia, malah pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

ZKK adalah Pelan Pembangunan Lestari yang diwujudkan kerajaan bagi membenarkan penduduk asal mendiami kawasan Taman-Taman Sabah (TTS) untuk keterusan hidup tanpa sebarang gangguan.

Maklarin berkata konsep ZKK adalah hampir sama dengan program yang dikenali sebagai ‘satoyama’  Jepun, namun perlaksanaannya jauh lebih baik kerana ia mengekalkan penduduk sedia ada dalam kawasan taman.

Satoyama bermaksud sekumpulan komuniti atau manusia yang dipilih dari luar untuk hidup di lembah yang dikelilingi kawasan bukit dan pergunungan, serta manusia hidup secara harmonis, aman dengan menggunakan sumber yang ada tanpa menjejaskan alam sekitar.

Beliau berkata kelebihan ZKK yang menjadi contoh kepada negara lain di dunia ialah memiliki pelan  pengurusan yang teratur, organisasi diketuai oleh kalangan penduduk asal, pengezonan kawasan untuk pembangunan pertanian, rumah, pelancongan termasuk pelantikan renjer kehormat dalam kalangan komuniti.

— BERNAMA