Pilih Bahasa

ZYCC buka peluang belia Sabah sertai sukan kriket

KOTA KINABALU: Presiden Kelab Kriket Remaja Zalmi (ZYCC), Mudasir Fazir Karim, berharap akan lebih ramai warga tempatan khususnya golongan belia menggiatkan diri dengan sukan kriket.

Mudasir berkata walaupun kurang popular, sukan kriket sebenarnya mempunyai potensi untuk berkembang di negara ini khususnya di Sabah, malah beliau yakin tidak mustahil untuk pasukan negara layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Mudasir Fazir Karim. Gambar SNT/Ihsan ZYCC

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan semua belia di Sabah ini untuk belajar mengenai sukan kriket ini dan pihak kami iaitu ZYCC sentiasa sudi membuka peluang kepada mereka yang berminat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mudasir berkata beliau mula meminati sukan kriket ketika berusia 6 tahun lagi malah pernah mewakili Sabah untuk skuad bawah 19 tahun pada 2011.

“Selepas itu saya terpaksa berhenti selepas mendapat nasihat daripada ayah saya kerana ketika itu kami menghadapi masalah kewangan selain tidak berpuas hati dengan keputusan pengurusan yang dilihat berat sebelah.

“Sekarang saya sudah berusia 24 tahun dan oleh kerana cinta saya kepada sukan kriket, saya mula menubuhkan ZYCC.

“Sukan kriket ini sebenarnya memberi banyak inspirasi kepada saya dan antara idola saya ialah pemain Pakistan, Imran Khan yang pernah membawa pasukan negaranya memenangi Piala Dunia, kini dia adalah perdana menteri Pakistan!,” katanya.

Barisan pemain kriket ZYCC. Gambar SNT/Ihsan ZYCC

Sementara itu, Mudasir turut mencabar mana-mana kelab kriket yang ada di negara ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelabnya.

“Selaku presiden dan juga ketua pasukan, saya ingin mencabar mana-mana kelab kriket untuk menguji kekuatan dengan kami termasuklah pasukan kebangsaan.

“Sebelum ini saya telah memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad negara namun ditolak kerana mereka menganggap kami bukan tandingan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau berkata ZYCC telah mengadakan dua aksi persahabatan sebelum ini bertemu dua kelab tempatan Sabah dan memenangi kedua-dua aksi berkenaan.

Dalam aksi bertemu Kinarut All Star, ZYCC berjaya mengatasi pasukan berkenaan dengan kemenangan 2 wicket manakala aksi bertemu Kota Kinabalu Interior turut menyaksikan ZYCC mencatat kemenangan dengan 3 wicket.-SabahNewsToday